JOHOR BAHRU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alawiyah Talib menafikan akan meninggalkan BERSATU, sebaliknya menegaskan kesetiaannya terhadap parti itu.
Alawiyah menyifatkan khabar angin tular sejak beberapa hari lalu sebagai amat tidak berasas dan merosakkan namanya sebagai ahli parti yang setia.
Katanya, walaupun tidak selesa dengan khabar angin itu, beliau tetap menjalankan amanahnya sebagai wakil rakyat dengan terus berkhidmat membantu masyarakat seperti biasa.
“Khabar angin saya akan tinggalkan BERSATU adalah tidak benar dan berniat jahat sedangkan saya di Endau masih menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat BERSATU tanpa henti.
“Saya akan tetap setia bersama BERSATU dan hanya mahu berkhidmat kepada rakyat di kawasan saya.
“Namun saya memang terperanjat apabila nama saya tiba-tiba dikait dan ditularkan antara ADUN BERSATU yang akan tinggalkan parti.
“Sedangkan tiada sesiapa pun yang tanya atau datang berbincang apa-apa, namun nama dan gambar saya tiba-tiba pula ditularkan dengan dakwaan akan tinggalkan BERSATU,” katanya ketika dihubungi.
Sejak beberapa hari lalu, nama Alawiyah dikaitkan antara beberapa ADUN BERSATU yang didakwa akan meninggalkan parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sabtu lalu, ADUN Larkin, Datuk Mohd Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, mengumumkan keluar Parti BERSATU berkuat kuasa serta merta.
Khamis lalu pula, Ketua BERSATU Tebrau, Mazlan Bujang, dilaporkan meletak jawatan ketua bahagian sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Mazlan yang juga ADUN Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi BERSATU Johor, dilaporkan berkata beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyokong kerajaan BN.
Sementara itu, Alawiyah bersyukur apabila keluarga dan masyarakat Endau terus memberikan semangat dan sokongan walaupun berita tidak benar itu sedikit sebanyak menjejaskan nama baiknya.
“Alhamdulillah, keluarga dan masyarakat Endau bertanya terus dan saya memberikan penjelasan ia tidak benar.
“BERSATU Pusat juga ada hubungi dan saya menjelaskan tiada sebarang niat hendak keluar parti apatah lagi ada didatangi atau dihubungi pihak yang meminta saya keluar parti,” katanya.
Dalam pada itu, Alawiyah berkata, beliau bersedia jika parti mahu mencalonkannya semula pada PRN Johor nanti.
“Saya bersedia bertanding pada PRN Johor jika dicalonkan parti kerana mahu berkhidmat rakyat di kawasan saya.
“Terserah kepada pucuk pimpinan dan saya terima apa juga keputusan dengan hati terbuka, yang penting saya kekal setia pada parti,” katanya.
-Berita Harian