JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru mencadangkan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) melibatkan Perikatan Nasional (PN) dan semua parti pembangkang yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditubuhkan.
Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli mencadangkan MRJ itu terdiri daripada Bersatu, Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Selain penggunaan nama MRJ, kita juga boleh namakan gabungan Perikatan Nasional (PN), PH dan parti pembangkang ini sebagai Gabungan Rakyat Johor atau GRJ seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang digunakan dalam PRN Sabah.
“Formula gabungan PH sebelum ini berjaya pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14). Kemuafakatan dalam parti dan rakan seperjuangan adalah kunci kejayaan untuk menang dalam PRN Johor.
“Parti yang menentang Barisan Nasional (BN) mesti berada di bawah satu panji. Jika tidak, sia-sia sahaja kerana kemenangan akan berpihak kepada UMNO,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Tambah Razrul Anwar, formula meletakkan PN, PH dan parti pembangkang di bawah satu panji adalah relevan dan dilihat formula terbaik.
“Buktikan kepada rakyat Johor tindakan muafakat kita. Tidak mustahil muafakat ini dapat menumbangkan BN sekali lagi,” katanya.
-Sinar Harian