PITAS: Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Bengkoka, Kampung Mangkabusu, ketika berkelah bersama keluarganya, hari ini.
Kejadian dilaporkan kira-kira jam 2 petang itu sebelum Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 2.04 petang.
Jurucakap PGO JBPM Sabah, berkata sepasukan empat anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat.
“Setakat ini, maklumat sebenar mangsa masih belum diperolehi dan operasi mencari sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, setakat ini masih belum ada sebarang petunjuk berhubung lokasi mangsa dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
BHonline-