KUANTAN: Terdapat pasukan Liga Malaysia (Liga M) didakwa mendaftarkan nama jurulatih bertauliah sebagai ‘lesen’ untuk membolehkan individu lain yang tidak memiliki lesen kejurulatihan melatih pasukan mereka sepenuhnya.
Episod lakonan di padang bola sepak tempatan itu dikatakan sudah lama berlaku, namun ia seolah-olah tidak diberi perhatian oleh pihak bertanggungjawab.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, nama atau lesen jurulatih bertauliah kini seakan boleh dijual beli oleh pasukan yang beraksi dalam Liga M sejak beberapa tahun lalu.
Beliau mendakwa, pasukan hanya menggunakan nama mereka sebagai memenuhi syarat untuk beraksi dalam Liga M, namun tugas sebenar melatih pasukan digalas individu lain yang tidak memiliki lesen kejurulatihan.
Katanya, kes berkenaan berlaku disebabkan pasukan kelab inginkan individu tertentu sebagai jurulatih sedangkan dia tidak memiliki lesen kejurulatihan selain ingin menjimatkan perbelanjaan membayar gaji.
“Saya dapati perkara ini sudah lama berlaku dalam kancah bola sepak tanah air yang kini bertaraf profesional. Persoalannya, adakah pihak peneraju bola sepak negara tidak mengetahui atau buat-buat tak tahu.
“Sekiranya perkara ini terus berlarutan tanpa sebarang tindakan, nasib jurulatih bertauliah akan terus terabai dan tercicir di pentas bola sepak negara,” katanya.
Malah, beliau berkata, kemerosotan pasukan bola sepak negara di peringkat antarabangsa turut berlaku disebabkan episod jurulatih tidak memiliki lesen kejurulatihan.
Katanya, kemahiran yang dimiliki jurulatih bertauliah tidak dapat digunakan sepenuhnya dalam menghasilkan corak permainan bola sepak yang sebenar.
“Akhirnya corak permainan bola sepak lebih berkualiti tidak dapat dipamerkan pemain yang dibentuk oleh jurulatih tidak bertauliah.
“Kesannya boleh kita lihat hari ini apabila pasukan bola sepak negara gagal menyerlah di pentas antarabangsa, skuad Harimau Malaya yang diharap menyerlah kecundang,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, bagi memastikan episod jurulatih tanpa lesen melatih pasukan dalam Liga M, pihak yang terbabit perlu segera membendung gejala berkenaan supaya tidak terus berlarutan.
Tambahnya lagi, jurulatih yang mempunyai lesen kejurulatihan pula jangan terlalu kejarkan imbuhan setiap bulan hingga sanggup menggadai maruah hingga dianggap penyumbang kepada kemerosotan pasukan negara.
BHonline-