AMSTERDAM – Kabinet keempat Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte yang akan mengangkat sumpah jawatan pada 10 Januari ini bakal menampilkan 29 portfolio di mana 14 daripadanya diisi oleh wanita, lapor akhbar Saudi Gazette semalam.
Nama dan jawatan anggota Kabinet Belanda diumumkan pada Ahad lalu oleh empat parti yang membentuk kerajaan campuran pimpinan Rutte.
Dilan Yeşilgöz-Zegerius yang dilahirkan di Ankara, Turki akan menjadi menteri kehakiman dan keselamatan.
Pemimpin berusia 43 tahun itu yang berhijrah ke Belanda telah dicalonkan oleh Parti Rakyat untuk Kebebasan dan Demokrasi (VVD) pimpinan Rutte.
Menteri Dalam Negeri, Kajsa Ollongren pula akan menjadi menteri pertahanan yang baharu.
Ahli politik Parti Kristian Demokratik, Wopke Hoekstra akan memegang portfolio menteri luar yang baharu.
Jawatan beliau sebelum ini sebagai menteri kewangan akan diserahkan kepada bekas menteri luar, Sigrid Kaag daripada parti D66.
Kaag meletak jawatan selepas pengunduran tentera Belanda dari Afghanistan pada September tahun lalu.
Selepas rundingan gabungan paling lama dalam sejarah Belanda, empat parti utama bersetuju untuk membentuk sebuah kerajaan campuran pada bulan lalu.
K!Online-