Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman lantang mempersoalkan hasil siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC) terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau mempersoalkan mengapa siasatan SC terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM ‘tidak dapat dimuktamadkan’.
Semangat seperti ini yang kita inginkan. Berani bersuara apabila melihat ada sesuatu yang tidak kena. Namun janganlah hanya bersuara jika yang tidak kena itu bukan geng kita. Itu politik namanya.
Semasa Syed Saddiq bersama Pakatan Harapan (PH) atau sebagai Menteri kerajaan Malaysia Baharu pernahkah beliau mempersoalkan mengapa kes Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng digugurkan begitu sahaja?
Begitu juga keputusan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menggugurkan tuduhan terhadap 12 individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Bukan dua itu sahaja. Banyak lagi. Pertuduhan terhadap ADUN DAP berhubung kes LTTE turut digugurkan.Tiga pertuduhan kenyataan berbaur hasutan Ahli Parlimen PKR terhadap Sultan Selangor digugurkan.
Ada juga kes pegawai kepada Timbalan Menteri didakwa merakam di bawah skirt seorang wanita.
Kes perhimpunan haram Ahli Parlimen DAP dan pemimpin PKR digugurkan. Kes hasutan Timbalan Menteri berhubung ucapan menghasut dalam himpunan Kita Lawan digugurkan.
Kes hasutan bekas Ahli Parlimen berhubung hasutan dalam kes liwat II digugurkan pada 27 Ogos 2018. Kes peguam pro-PH menunjukkan isyarat lucah kepada seorang penonton di forum RUU355 digugurkan.
Kes hasutan kartunis berhubung sembilan hasutan melalui laman twitter miliknya digugurkan. Rasanya tidak pernah kedengaran Pengasas Parti MUDA itu bersuara mengenai semua yang tidak kena itu sebelum ini.
Kalaulah semua kes-kes itu pernah disuarakan secara lantang suatu ketika dulu pasti Syed Saddiq tampak lebih hero hari ini. Malangnya hipokrasi adalah benar walau tiada bukti jelas ia diperbuat daripada plastik.
-Mynewshub