KUALA LUMPUR : Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan implikasi kewangan berhubung penetapan harga borong dan runcit maksimum bagi dua produk vaksin COVID-19 iaitu jenama CoronaVac keluaran Sinovac dan Covilo keluaran Sinopharm.
Harga borong dan runcit maksimum bagi vaksin CoronaVac masing-masing ditetapkan RM62 dan RM77 setiap dos, manakala Covilo masing-masing pada RM49 dan RM61.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, berkata implikasi kewangan itu bakal ditanggung industri terutama pengamal swasta yang membeli bekalan vaksin dengan kadar harga tinggi pada peringkat awal dan pada masa sama, belum selesai melengkapkan program vaksinasi komersial.
“Industri akan terus kekal komited untuk melaksanakan dialog yang membina dengan kerajaan mengenai isu vaksin baharu yang dijangka dijual di pasaran swasta dalam masa terdekat.
“Adalah penting bagi Industri penjagaan kesihatan untuk beroperasi dalam persekitaran yang boleh membantu usaha negara membendung pandemik dan meningkatkan hasil kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan bersama semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan penetapan harga itu dibuat dalam usaha mengelakkan vaksin COVID-19 dijual pada harga terlalu tinggi di pasaran.
Menurut kenyataan itu, penguatkuasaan perintah yang berkuat kuasa pada 15 Januari ini mengikut Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM).
Bagaimanapun Dr Kuljit berkata, industri berharap penetapan harga siling bagi vaksin terbabit hanya dibuat sementara dan dilaksanakan pada keadaan luar biasa ketika ini.
Ia sekali gus bukan dilaksanakan dalam tempoh panjang untuk kerajaan campur tangan yang tidak terkawal berhubung penetapan harga produk perubatan.
“Sepanjang dua tahun ini, hospital swasta menjalin hubungan yang baik dengan KKM serta pelbagai peringkat dalam perkongsian sumber, merawat sepenuhnya pesakit COVID-19 dan menerima pesakit bukan COVID-19 daripada hospital awam.
“Selain itu, kebanyakan hospital swasta menganjurkan kempen vaksin dan mengendalikan pusat vaksinasi bagi kedua-dua dos primer dan penggalak hingga ke hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, APHM berbesar hati bekerjasama dengan kerajaan dalam meringankan beban menguruskan pesakit COVID-19 dan secara khususnya dalam mengawal harga dua vaksin berkenaan.
“Ini kerana pandemik COVID-19 membawa penderitaan yang besar pada sekala global. Hospital baik sektor awam dan swasta memainkan peranan cukup penting dalam membendung wabak yang berlaku dengan pantas serta peralihan fasa ke endemik tidak lama lagi.
“Ini seiring dengan peningkatan kebolehcapaian vaksin COVID-19 dan APHM terus menyokong usaha kerajaan dalam mempromosikan ekuiti vaksin yang penting untuk pemulihan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
-Berita Harian