KUALA LUMPUR: Golden Screen Cinemas (GSC) memandang serius insiden perkongsian sedutan filem House of Gucci ke media sosial dan sudah mengambil tindakan lanjut bagi menjaga kepentingan pemegang hak karya berkenaan.
Kenyataan itu dikeluarkan GSC ketika membalas ciapan seorang pengguna Twitter yang membangkitkan mengapa perbuatan curi rakam dibenarkan pemilik pawagam terbabit dan kenapa masih ada individu melakukannya.
“Merakamkan kandungan filem adalah tidak dibenarkan. Kami mengambil maklum hal ini secara serius dan sudah menghubungi dan melaporkan insiden ini kepada pemilik hak untuk tindakan lanjut,” kata ciapan dilayangkan GSC.
Menerusi ciapan lain, wakil GSC menambah pengedar filem House of Gucci iaitu United International Pictures (UIP) sudah dimaklumkan mengenai insiden itu untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, netizen mempertikaikan tindakan adik Neelofa iaitu Nur Ameera Khan yang didakwa memuat naik adegan filem House of Gucci dalam media sosial.
Sementara itu, Ameera atau lebih dikenali sebagai Little Miss Khan terus mengunci mulut berhubung insiden itu.
Perkongsian adegan filem House of Gucci dalam media sosial menimbulkan rasa kurang senang netizen kerana filem terbabit belum ditayangkan di Malaysia.
BH Online masih berusaha mendapatkan komen Ameera mengenai insiden berkenaan.
BHonline-