GAZA : Israel menyasarkan kedudukan Hamas di selatan Gaza lewat malam tadi selepas tembakan roket dilancarkan dari kawasan Palestin, kata sumber keselamatan dan tentera.
Pasukan Pertahanan Israel, dalam mesej ringkas kepada media, berkata mereka ‘sedang melakukan serangan’ di Gaza iaitu wilayah Palestin yang dikawal oleh gerakan Islam Hamas.
Pesawat perang Israel menyasarkan tapak Briged al-Qassam, barat Khan Yunis di selatan Gaza, kata sumber Palestin kepada AFP, merujuk kepada sayap tentera Hamas.
Sumber itu turut melaporkan tembakan meriam ke atas pangkalan pemerhatian Hamas di utara Gaza.
Ia berlaku selepas dua roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza pagi semalam dan jatuh di Laut Mediterranean, di luar pantai Tel Aviv.
Pihak tentera dalam satu kenyataan berkata, tiada siren dibunyikan dan sistem pemintasan roket ‘Iron Dome’ atau Kubah Besi Israel tidak digunakan.
Israel mengekalkan sekatan ke atas kawasan yang miskin itu sejak 2007 iaitu pada tahun Hamas mengambil alih kuasa.
Tahun lalu, Hamas melancarkan serangan roket bertalu-talu ke arah Israel ketika konflik 11 hari tercetus akibat ketegangan di Baitulmaqdis.
Gencatan senjata yang longgar berkuat kuasa pada akhir Mei dan sejak itu hanya lima roket atau peluru mortar dilepaskan dari Gaza ke arah wilayah Israel.
-Berita Harian