Tindakan pemimpin de facto DAP, Lim Kit Siang menyiarkan gambarnya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq di Facebook mencetuskan tanda tanya.
Lim Kit Siang dalam kapsyen gambar itu menyebut: “Perjuangan untuk Malaysia yang Baharu dan lebih baik ini adalah perjuangan yang belum selesai”
Untuk rekod Syed Saddiq merupakan bekas anggota Kabinet kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai DAP.
Ahli Parlimen Muar itu menubuhkan parti baharu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas kerajaan PH tumbang.
Kurang jelas apakah tujuan Lim Kit Siang menyiarkan gambarnya bersama Ahli Parlimen Muar dengan kapsyen demikian di akaun Facebook beliau beberapa hari lalu.
Namun yang pasti ia mencerminkan hubungan DAP dan MUDA masih akrab dan sangat akrab. Ternyata hubungan Lim Kit Siang dan Syed Saddiq sangat mesra.
Bagaimanapun semua sedia maklum DAP merupakan parti yang ditolak oleh majoriti orang Melayu selepas apa yang DAP sendiri buktikan semasa menguasai kerajaan.
Dasar pemimpinnya terhadap komunisme, konvensyen antarabangsa ICERD, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), liberalisme dan banyak lagi yang mengguris perasaan orang Melayu.
Tiada siapa boleh menafikan itu antara punca kerajaan PH tumbang selepas orang Melayu menunjukkan penolakan mutlak terhadap DAP.
Justeru persoalan paling penting apakah MUDA mempunyai asprasi, hala tuju, dasar dan falsafah politik yang sama seperti DAP berdasarkan keakraban yang ditonjolkan?
Lim Kit Siang telah mengumumkan bahawa agenda Malaysia Baharu dibawa DAP masih belum selesai dan adakah MUDA turut berpegang kepada prinsip yang sama?
Tanda tanya itu bertambah ketara andai dikaitkan dengan tindakan Syed Saddiq mempertahankan perbuatan ahli MUDA minum arak atas nama hak asasi.
Jika jawapan kepada semua persoalan itu adalah benar, maka mungkinkah mengundi MUDA pada PRU-15 ibarat mengundi dasar dan falsafah DAP untuk sebuah Malaysia Baharu?
Malaysia Baharu yang semua sudah tahu apakah agendanya dan implikasikanya terhadap kepentingan orang Melayu di negara ini.
-Mynewshub