SHAH ALAM – Kekurangan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akibat pengeluaran tambahan pada masa sekarang didakwa akan memberi risiko besar terhadap potensi pelaburan sedia ada dan seterusnya mengakibatkan ‘bencana’ untuk jangka masa panjang.
Ketua Penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Dr Shankaran Nambiar berkata, dana KWSP akan dilaburkan dalam pelbagai pasaran aset untuk melipat gandakan nilainya.
“Setiap tahun, KWSP akan mengumumkan kadar dividen yang merupakan pulangan pelaburan bagi ahli-ahli KWSP.
“KWSP akan melabur dalam pelbagai pasaran aset dan sekiranya mereka terpaksa menarik maka, ia akan membawa bencana.
Ini pasti akan menjejaskan pasaran kewangan KWSP.
“Ia juga akan menyebabkan pelabur hilang keyakinan mereka untuk menerima pelaburan mereka.
Justeru Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) tidak mahu melihat perkara itu berlaku.
“Sebaik-baiknya kerajaan boleh mewujudkan dasar yang akan membetulkan keadaan pada masa hadapan.
Tetapi jika orang ramai menuntut pengeluaran segera, itu akan meletakkan KWSP dan MOF dalam keadaan yang ketat,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan sekiranya cadangan itu diluluskan kerajaan, pencarum berkemungkinan akan hidup di bawah Purata Garis Kemiskinan (PGK) pada hari tua mereka.
Menurut beliau, sebarang kelulusan pengeluaran tambahan melalui KWSP hanya akan mewujudkan ‘vicious cycle’, di mana kerajaan akhirnya terpaksa mengenakan cukai tambahan kepada generasi akan datang bagi menampung kos pengeluaran sekarang.
Dalam pada itu, Nambiar berkata, pengeluaran tambahan KWSP tidak akan menguntungkan sebahagian besar masyarakat terutama golongan B40 dalam jangka masa panjang.
Ujarnya, pengeluaran tersebut bakal menyebabkan kerajaan terpaksa mengenakan cukai tambahan kepada generasi akan datang.
“Kalau KWSP dikeluarkan ia akan melibatkan kos yang tinggi, jadi siapa yang akan menanggung kos tersebut?
“Ini kerana permintaan untuk mengeluarkan wang KWSP ini datang daripada mereka yang terjejas dari segi ekonomi pada masa kini.
“Mereka tidak mempunyai banyak simpanan sekarang dan sangat memerlukan wang tersebut, jadi mereka tidak dapat melihat keperluan wang KWSP ini dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang,” jelasnya.
Mengulas lanjut, dana KWSP diwujudkan bagi tujuan persaraan dan Ia merupakan suatu bentuk simpanan secara mandatori bagi pekerja swasta dan caruman akan dibuat sehingga mereka mencapai umur persaraan.
“Jika tiada duit, maka KWSP akan hilanglah fungsinya sebagai dana pencen.
“Duit milik KWSP adalah untuk memenuhi keperluan persaraan bagi ahli-ahlinya,” katanya.
-Sinar Harian