KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menyiasat laporan mengenai Ketua MIC Sabah, Peer Mohamad Kadir yang didakwa mendapat dokumen pengenalan diri secara tidak sah selepas beberapa tahun berhijrah dari India ke negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata beliau mengetahui dakwaan itu melalui media sosial, tetapi tidak mempunyai maklumat lanjut mengenainya.
Beliau turut mengesahkan Peer Mohamad adalah orang sama yang dikaitkan dengan Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu dilantik kerajaan negeri untuk menganggotai lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu.
“Kita akan siasat perkara itu, saya belum dapat maklumat lanjut tetapi nama disebut Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu itu adalah Pengerusi MIC Sabah,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tiga usaha sama pelaburan di antara kerajaan negeri dan Yayasan Sabah dengan syarikat tempatan serta luar negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Hajiji diminta mengulas dakwaan terhadap Peer Mohamad selepas namanya disebut antara individu pernah mengaku mendapat kewarganegaraan secara tidak sah pada 1980-an ketika pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, pada 2013.
Sebelum ini, beberapa pihak mahukan kepastian sama ada Peer Mohamad dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu adalah individu sama didakwa datang dari India ke Sabah pada awal 1980-an sebelum mendapat kewarganegaraan secara tidak sah enam tahun kemudian.
Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, turut meminta pihak berkuasa menyiasat latar belakang Peer Mohamad sama ada dakwaan terhadapnya benar atau sebaliknya.
Katanya, perkara itu penting memandangkan PBS komited membersihkan Sabah daripada masalah PATI.
“PBS khuatir terhadap dakwaan bahawa beliau (Peer Mohamad) masuk ke Sabah dari India pada 1984 dan memperoleh kad pengenalan enam tahun kemudian melalui cara meragukan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, pergerakan Pemuda PBS akan membuat laporan polis berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
BHonline-