KOTA BHARU : Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dijangka mencatat kemajuan sebanyak 37 peratus bagi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata kerja-kerja pembinaan infrastruktur ini melibatkan kerja-kerja tanah, jambatan dan kerja cerucuk di sepanjang jajaran empat negeri tersebut.
“Bagi pengambilan tanah pula, proses di Kelantan telah siap sepenuhnya manakala di Pahang dan Terengganu masih berjalan dan Selangor akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program ‘Mesra ECRL’ di Pusat Inovasi Kraf Batik dekat Tunjong, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, mengenai kerja-kerja pembinaan ECRL di Kelantan, Darwis berkata sebanyak 16.34 peratus bagi kerja-kerja infrastruktur telah mencatat kemajuan setakat Disember tahun lepas melibatkan 18 lokasi.
“Pihak MRL optimis projek ECRL di negeri ini yang merangkumi jajaran sepanjang 43.86 kilometer akan siap dibina mengikut jadual menjelang penghujung tahun 2026.
“Jumlah tenaga kerja bagi projek ECRL di Kelantan setakat ini seramai 672 orang dengan 73 peratus terdiri daripada warga tempatan,” katanya.
Sementara itu, Darwis berkata Program ‘Mesra ECRL’ yang diadakan selama dua hari di Kelantan bermula hari ini merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat dalam menyantuni ekonomi setempat, sosial, rakyat dan alam sekitar.
“Sepanjang program ini berlangsung, pihak MRL turut mengambil peluang mengadakan sesi temu duga terbuka bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) dengan menawarkan jawatan kepada mereka yang berminat untuk bekerja seperti juruteknik tapak binaan dan mekanik mesin jentera berat,” katanya.
Rangkaian rel sepanjang 665 kilometer itu, yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 kilometer, serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127 kilometer, dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion dan dijadualkan siap pada Disember 2026.
Pembinaan melibatkan Jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu manakala Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, Selangor.
-Awani