KUALA LUMPUR: MSC Malaysia yang diperkenalkan pada 1996 akan dipertingkat dan dinamakan semula sebagai Malaysia Digital.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata ini penting berikutan MSC Malaysia perlu berkembang sejajar perubahan pesat norma sosioekonomi yang menjadi tindak balas terhadap kemajuan teknologi digital secara berterusan.
Malah, beliau berkata, sejak diperkenalkan, MSC Malaysia terbukti menjadi pemangkin dan mentransformasi Malaysia sebagai ekonomi berteraskan pengetahuan.
“MSC Malaysia diwujudkan bagi memupuk ekosistem serba kondusif yang dipacu pembangunan infrastruktur mewah dan kehadiran syarikat teknologi maklumat serta komunikasi (ICT) dalam koridor terbabit,” katanya berucap merasmikan Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, hari ini.
Berkongsi kejayaan inisiatif itu, Annuar berkata, MSC Malaysia turut membantu memacu pertumbuhan ekonomi digital negara ini yang pada masa ini menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ia juga satu program yang tidak pernah disaksikan di dunia pada 1996 atau menjadi satu ‘game changer’ (pengubah).
“Dari pelbagai sudut, MSC Malaysia adalah permulaan asal ketika perkataan ‘startup’ (permulaan) itu masih belum wujud,” katanya.
Annuar berkata, kerajaan mengenal pasti ekonomi digital sebagai antara bidang pertumbuhan ekonomi utama Malaysia bagi mencapai pertumbuhan mampan sambil memastikan kemakmuran bersama diraih menerusi agihan adil dan saksama yang merentasi kumpulan pendapatan, etnik serta agama.
Beliau berkata, Menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), ekonomi digital diunjurkan menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada KDNK Malaysia menjelang 2025.
Selain itu, katanya, kerajaan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan terus memacu kemajuan ekonomi digital ke arah menjadikan Malaysia negara digital yang kompetitif dan hab digital ASEAN.
“Pandemik COVID-19 terbukti menguji kita dalam pelbagai aspek dan mengekang kemampuan berkembang. Namun, pada masa sama, ia turut menjadi pemangkin bagi ekonomi digital, membuka laluan untuk teknologi e-dagang dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) bagi meraih pertumbuhan yang hebat,” katanya.
Annuar berkata, Malaysia juga tidak ketinggalan memanfaatkan gelombang digital, membangunkan ekosistem yang dijana teknologi maju seperti kecerdasan buatan (AS), internet pelbagai benda (IoT) dan Analisis Data Raya.
Merujuk Laporan e-Conomy Asia Tenggara (SEA) oleh Google, Temasek dan Bain & Company, beliau berkata, Malaysia mencatatkan tiga juta pengguna digital baharu sejak pandemik bermula pada 2020, manakala 81 peratus daripada semua pengguna internet adalah pengguna perkhidmatan digital.
Katanya, laporan itu mengunjurkan ekonomi internet Malaysia secara keseluruhannya mencecah AS$21 bilion dari segi Nilai Dagangan Kasar (GMV) pada 2021, seterusnya AS$35 bilion menjelang 2025.
Pada September 2021, pendapatan e-dagang Malaysia berjumlah RM279 bilion, peningkatan sebanyak 17.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pada awal tahun lalu, Malaysia melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDIGITAL iaitu inisiatif bagi memacu transformasi digital dan memacu pertumbuhan ekonomi terbabit.
“Ia menawarkan satu kerangka kukuh yang dapat membantu mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital, membantu 5,000 syarikat permulaan atau pemula niaga memulakan operasi dalam tempoh lima tahun berikutnya dan menarik pelaburan baharu bernilai RM70 bilion dalam sektor digital,” katanya.
Sementara itu, Majlis Ekonomi Digital Negara dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) pula menubuhkan Pejabat Pelaburan Digital (DIO) bagi kemudahan pelaburan digital di Malaysia.
Sejak memulakan operasi pada April 2021, pihak DIO memberi kemudahan pelaburan digital bernilai RM13.1 bilion di Malaysia merangkumi projek pusat data, manakala RM57.3 bilion projek digital lain kini dalam perancangan.
Bernama-