MARANG : Pas beri kata dua kepada segelintir kepemimpinan UMNO agar tidak sesekali meluaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagaimana di Melaka dan Johor ke negeri-negeri lain.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jika UMNO masih berdegil dengan langkah PRN, maka, Pas mempunyai strategi tersendiri untuk mengajar rakan Muafakat Nasionalnya (MN) itu.
Tegasnya, UMNO perlu sedar yang Pas juga mempunyai kekuatan terutama di kubu kuat mereka di Terengganu, Kelantan dan Kedah.
“PRN bukan strategi yang baik tetapi dilakukan oleh kluster mahkamah, kluster kalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di samping mereka yang tiada jawatan.
“Jadi, saya nak beritahu, Pas ada batas dan sempadan. Kalau UMNO mahu buat lagi PRN, kita ada strategi yang akan dilaksanakan apabila tiba masanya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemenangan besar parti itu dalam PRN Johor kelak bakal memberi isyarat kebangkitan gagasan tersebut untuk kembali mengemudi pentadbiran negara pada masa hadapan.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas yakin UMNO akan membawa ramuan sama dalam PRN Melaka ke Johor dengan menggunakan undi teras parti.
Bagaimanapun, katanya, UMNO perlu mengambil iktibar keputusan PRN Melaka kerana undi parti berkenaan hanya naik satu peratus sahaja.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi mengulangi pendirian untuk terus mengukuhkan kerjasama MN dengan UMNO di sebalik rasa kecewa dengan segelintir pemimpin parti itu.
“Bukan semua UMNO begitu hanya sebahagian sahaja terutama kluster-kluster yang saya sebutkan tadi.
“Golongan itu yang main politik tidak sihat, selepas Johor mahu buat PRN di mana pula, Perak dan kemudian di mana lagi? Tidakkah rakyat letih dengan apa yang berlaku ini,” katanya.
-Utusan Online