Maaf berkata begini, tetapi sejujurnya sehingga hari ini kita tidak jelas apakah manfaatnya penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kepada rakyat.
Pejuang yang ditubuhkan oleh Tun Mahathir Mohamad selepas beliau dan anaknya Mukhriz digugur keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Pejuang tidak bertanding dalam pilihan raya penting sejak ditubuhkan dan parti itu juga dilihat kurang menjalankan peranannya sebagai pembangkang.
Satu-satunya yang jelas mengenai penubuhan Pejuang adalah tentang Najib, Najib dan Najib (mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak)
Kenyataan-kenyataan mengenai isu-isu kritikal membabitkan kepentingan rakyat juga sangat jarang-jarang didengari daripada Pejuang.
Jadi apa fungsi Pejuang dalam kancah politik tanah ari selain bakal menyumbang kepada perpecahan undi rakyat pada PRU-15 akan datang?
Kita harus akui Pejuang adalah parti serpihan kepada parti serpihan iaitu PPBM dan PPBM sehingga hari ini pun masih tercari-cari sokongan rakyat.
Mungkin disebabkan itu timbul desas-desus bahawa Pejuang dan PPBM sebenarnya masih parti politik yang sama walau tidak secara nyata.
.
Pada 16 April 2021, Timbalan Presiden Pejuang, Marzuki Yahya malah pernah mengatakan ini:
“Jika Parti Pejuang ditakdirkan untuk bekerja bersama Perikatan Nasional (PN), ia hanya dilakukan demi kepentingan negara”.
Kebetulan pada 8 Julai 2021, Pejuang akhirnya didaftarkan sepenuhnya (diluluskan) dan diiktiraf secara rasmi sebagai sebuah parti politik.
Mahathir iaitu Pengerusi Parti Pejuang menerima surat kelulusan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Justeru tidak mustahil jika Pejuang akhirnya kembali kepada PPBM untuk menggantikan UMNO yang menolak kerjasama dengan PPBM.
Jika begitu keadaannya memang benar ramalan Mahathir bahawa Pejuang akan menggantikan UMNO iaitu menggantikan UMNO menyokong PN.
Persoalannya adakah ahli dan penyokong PAS bersedia untuk menerima kerjasama Mahathir dan Pejuang?
-Mynewshub