SEMUA pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dinasihatkan untuk mendapatkan dos ketiga Covid-19 menjelang sepak mula musim baharu bagi mencegah penularan wabak berkenaan ketika pertandingan sedang berlangsung.
Cadangan tersebut disarankan pemerhati sukan tanah air, Mohd Sadek Mustafa yang melihat dos penggalak itu mampu meningkatkan imunisasi individu sekali gus dapat merendahkan risiko untuk dijangkiti.
Jelasnya, kejadian yang berlaku kepada Negeri Sembilan FC pada saingan Piala Malaysia tahun lalu harus dijadikan pengajaran bagi mengelakkan perjalanan Liga-Malaysia tidak terganggu yang mungkin akan membawa kepada lebih banyak masalah kepada sukan bola sepak negara.
āDengan penularan sekarang terdapat pelbagai varian baharu ketika ini, jadi saya rasa pengambilan dos penggalak amat baik bagi meningkatkan daya tahan setiap pemain.
āKita tidak mahu kejadian yang sama seperti yang terjadi kepada Negeri Sembilan FC tahun lepas berlaku semula yang sudah tentu akan mengganggu perjalanan liga kelak.
āSebab kita perlu faham, pemain ini juga terdedah dengan jangkitan di luar pasukan kerana mereka tidak duduk dalam gelembung sukan,ā katanya kepada Sukan Sinar.
Terdahulu pada saingan Piala Malaysia musim lepas, skuad Negeri Sembilan terpaksa menarik diri gara-gara 20 pemain dan empat pegawai dijangkiti Covid-19.
Kes jangkitan tersebut merupakan yang tertinggi pernah direkodkan oleh mana-mana pasukan Liga -M.
Dalam pada itu, Mohd Sadek memuji prosedur operasi standard yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sepanjang liga berlangsung sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, SOP yang ditetapkan itu tidak ada guna sekiranya semua pihak tidak berdisiplin untuk mematuhi arahan-arahan yang ditetapkan oleh MFL.
āSaya lihat SOP yang diwujudkan oleh MFL ketika ini adalah yang terbaik dan kini bergantung kepada semua pihak termasuk peminat, pemain dan pihak pengurusan untuk mematuhi arahan itu.
āJangan disebabkan kegagalan kita untuk mematuhi SOP yang ditetapkan menyebabkan penularan Covid-19 sekali gus memberi kesan kepada periuk nasi pasukan,ā katanya.
-Sinar Harian