KOTA BHARU : Pendekatan Kementerian Pendidikan (KPM) masih menggunakan kaedah penggiliran bagi kehadiran secara bersemuka untuk pelajar ditetapkan dalam pengoperasian sesi persekolahan kali ini, adalah tindakan progresif dan cermat.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, menjelaskan tempoh pelaksanaan kaedah penggiliran itu adalah bergantung pada keadaan semasa perebakan COVID-19.
“Kita seboleh-bolehnya tidak mahu penggiliran, namun ia perlu dilakukan selepas mengambil kira semua keadaan, termasuk penularan COVID-19 dan varian Omicron.
“Pendekatan KPM setakat ini adalah tindakan progresif yang bergerak ke hadapan tetapi cermat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail sempena pengoperasian hari pertama sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 di Kelantan, hari ini.
Bagaimanapun, Radzi berkata, KPM mengambil langkah ke hadapan dengan menetapkan golongan pelajar yang tidak lagi perlu menjalani penggiliran pada sesi ini.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi pelaksanaan kerja membaik pulih sekolah yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir baru-baru ini.
“Untuk kerosakan kecil, kita akan menggantikan segera termasuk kerusi atau meja. Namun bagi kerosakan besar, KPM akan bekerjasama dengan KKR,” katanya.
-Berita Harian