KUALA LUMPUR – Pengendali pakej ibadah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) kesal kerana tiada perbincangan dibuat bersama agensi berkaitan berhubung penangguhan perjalanan bagi ibadah umrah bermula pada 8 Januari ini.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undangnya, Ida Riswana Idris berkata, pihaknya berasa kecewa kerana penangguhan ibadah ke Tanah Suci itu dibuat tanpa perbincangan dua hala.
“Keputusan mengejut itu dianggap terburu-buru dan perlu dikaji semula berikutan implikasi kewangan besar yang bakal ditanggung bakal jemaah umrah dan agensi terlibat.
“Ekoran keputusan mendadak itu, kami bakal berdepan kerugian berjumlah RM6.5 juta. Hal ini memberi kesan kepada kewangan syarikat. Sejak kemarin, ada jemaah yang mahu membatalkan perjalanan umrah dan penerbangan ke sana,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Menurut Ida Riswana, seramai 8,000 bakal jemaah berdaftar dengan Andalusia Travel untuk mengerjakan ibadah umrah sehingga Syawal nanti.
Ekoran penangguhan perjalanan itu, jemaah menanggung kerugian RM2,000 hingga RM5,000 seorang bagi tiket kapal terbang dan penginapan.
“Kami menasihati jemaah agar tidak membuat keputusan secara melulu dan meminta mereka supaya bersabar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, penangguhan sementara perjalanan ke Tanah Suci perlu diperluaskan kepada mereka yang pergi bersendirian tanpa melibatkan mana-mana agensi pelancongan sekiranya kerajaan mahu membendung wabak Covid-29 varian Omicron.
“Larangan ini tidak melibatkan pemegang visa pelancongan, jika mereka membuat persinggahan perjalanan melalui negara lain, adakah kerajaan mampu mengesan individu-individu tersebut?
“Andalusia menggesa kerajaan membuat langkah yang lebih baik bagi menangani penularan Covid-19 dalam kalangan jemaah. Sediakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bukannya sekat perjalanan mereka,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya disediakan penginapan dengan kos lebih murah kepada jemaah yang menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel bagi mengelakkan terbeban.
Kosmo! semalam melaporkan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan perjalanan untuk mengerjakan ibadah umrah ditangguh sementara mulai 8 Januari ini bagi membendung penularan varian Omicron.
-Kosmo Online