JOHOR BAHRU : Pakatan Harapan (PH) Johor dijangka menyelesaikan rundingan, esok, berhubung pengagihan kerusi bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Dzulkefly Ahmad, berkata rundingan berkenaan sedang membabitkan AMANAH, PKR serta DAP negeri terlebih dahulu.
Beliau berkata, ia akan disusuli perbincangan bersama parti lain yang menyertai kerjasama gabungan PH Johor, membabitkan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).
“Kekosongan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) gabungan PH Johor membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14 ), menjadi isu utama yang perlu diselesaikan.
“Pada PRU-14, BERSATU bertanding 18 kerusi DUN Johor dan memenangi lapan kerusi. AMANAH pula bertanding 12 kerusi serta memenangi sembilan kerusi, manakala PKR bertanding 12 kerusi dan memenangi lima kerusi.
“Formula PH Johor adalah mudah saja, iaitu mengekalkan parti yang menang pada PRU-14 di kerusi akan ditandingi pada PRN kali ini, dengan syarat meletakkan calon boleh menang. Namun bagi 18 kerusi membabitkan BERSATU sebelum ini, ia perlu diselesaikan secara muafakat dalam PH Johor.
“AMANAH, PKR serta DAP mengadakan mesyuarat, dan rundingan antara parti sedang berjalan. Kita menjangka ia selesai, esok,” katanya kepada BH, hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, pembabitan MUDA, PEJUANG dan WARISAN adalah sangat penting pada PRN Johor kali ini.
“Ia bukan saja memberikan dinamik berbeza dalam gabungan PH Johor, malah dijangka mampu memberi saingan terhadap pakatan lain, termasuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Parti pembangkang perlu menjadi blok yang kuat. Tidak semestinya semua perlu menjadi komponen PH, namun pembangkang perlu bekerjasama supaya tidak berlaku pertembungan yang akhirnya merugikan pembangkang.
“Oleh itu, PH Johor akan berbincang serta memperhalusi kerusi yang bakal diberi kepada MUDA, PEJUANG dan WARISAN.
“PH Johor juga dijangka mengadakan sidang media dalam masa terdekat untuk mengumumkan kerjasama dalam kalangan pembangkang bagi menghadapi PRN nanti,” katanya.
-Berita Harian