JOHOR BAHRU : Memasuki hari ketiga pembubaran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, persiapan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya negeri yang pertama kali diadakan itu semakin rancak.
Terdahulu Astro AWANI difahamkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah berada di negeri selatan ini, untuk mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Bagaimanapun, media juga difahamkan Presiden UMNO itu akan berada di Johor selama satu malam dan tugas untuk menyelaras jentera serta perancangan parti akan digalas oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Presiden turun hari ni, dengan Tok Mat (Mohamad) untuk bejumpa dengan Datuk Hasni secara tertutup.
“Persiapan lebih kurang macam Melaka. Cuma (BN) Johor ni lebih yakin daripada Melaka. Melaka dulu macam tak yakin, tetapi Johor macam lebih yakin. Sebab itu BN Johor tak nak share (berunding) dengan sesiapa dan nak bergerak solo,” kata sumber kepada Astro AWANI.
Selain itu, sumber menyebut, berkemungkinan besar BN Johor akan mengguna pakai formula di Melaka iaitu lebih kurang 86 peratus muka baharu dan muda untuk pilihan raya kali ini.
Pada Isnin, Mohamad memaklumkan UMNO sendiri melihat minimum 46 kerusi untuk mereka tandingi pada PRN kali ini.
“Kita lihat minimum 42 kerusi, untuk UMNO sahaja, 42 kerusi daripada 56,” katanya sewaktu ditemui media.
Selain itu, permintaan MIC Johor untuk bertanding lima kerusi DUN pada PRN kali ini, boleh dilaksanakan sekiranya mendapat ‘lampu hijau’ daripada pimpinan tertinggi BN, kata Hasni.
Pengerusi BN Johor itu berkata, beliau tidak akan membantah sekiranya Pengerusi BN mengarahkannya berbuat demikian.
Tambahnya lagi, beliau harap Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran sendiri dapat menyampaikan hasrat untuk bertanding di lima kerusi itu, untuk dibincangkan di peringkat Pusat.
-Awani