KOTA BHARU : PAS belum memuktamadkan kaedah dan bilangan kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata pihaknya menunggu pengisytiharan dan pendirian PAS pusat untuk bertanding pada PRN itu.
“Kita tunggu mesyuarat (pusat) kerana belum dipanggil lagi. Kita tunggu macam mana (kaedah).
“Keputusan muktamad belum ada lagi termasuk kita hendak bertanding berapa kerusi pun tidak ada lagi termasuk akan bekerjasama dengan parti lain ataupun tidak.
“Kena tunggu dulu. Asasnya PAS akan bertanding kerana kita tidak pernah lagi tidak bertanding,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, PAS mengesahkan akan menyertai PRN Johor, namun belum menetapkan sama ada mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN) atau bertanding secara sendirian.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, PAS sedia berunding untuk bekerjasama dengan parti lain termasuk UMNO menerusi MN.
-Berita Harian