Petaling Jaya : Srikandi Bersatu mengemukakan 15 nama untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan tertinggi parti sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, cadangan itu bagi memberi ruang dan peluang kepada golongan wanita.
“Kita sudah serahkan nama 15 calon wanita untuk PRN Johor.
“Terserah kepada Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan pucuk pimpinan untuk membuat keputusan. Namun saya percaya wanita akan diberi ruang dan peluang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyantuni penghuni Pusat Kebajikan Chen Ai, Kelana Jaya di sini, hari ini.
PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Januari lalu.
Susulan pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari depan bagi menentukan tarikh penting seperti hari penamaan awal, mengundi awal dan mengundi biasa.
-Harian Metro