KUALA LUMPUR : Sempena perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganjurkan kempen Gong Xi Ang Pow 2022 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM100,000.
Dalam kenyataan hari ini, PTPTN memaklumkan, kempen bertemakan ‘Gong Xi Simpan, Kongsi Ong! Hari-Hari Mesti Mau Simpan Tau! yang akan berlangsung sebulan hingga 15 Februari ini, terbuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.
Untuk menyertainya, pendeposit hanya perlu membuat simpanan bersih serendah RM50 sepanjang tempoh kempen dan layak mendapat satu cabutan secara automatik.
“Penganjuran kempen ini tanda penghargaan PTPTN kepada pendeposit yang setia memilih Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk menabung pada musim perayaan.
“Mereka yang menyertai kempen ini bukan sahaja berpeluang memenangi hadiah lumayan, malah akan menikmati keistimewaan Simpan SSPN, termasuk pemberian dividen kompetitif, perlindungan takaful dan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun,” menurut perbadanan itu.
PTPTN berharap kempen berkenaan akan dapat menarik minat dan menyuntik motivasi masyarakat untuk terus membuat penabungan, sekali gus memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina serta mengeratkan hubungan silaturrahim masyarakat majmuk selaras konsep Keluarga Malaysia.
Kempen menawarkan hadiah menarik untuk pemenang dari setiap negeri, termasuk TV Pintar 4K 50 inci, periuk tekanan tinggi, basikal lipat serta saguhati berupa ang pow bernilai RM388.
Untuk maklumat lanjut lanjut mengenai kempen Gong Xi Ang Pow 2022, pembukaan akaun Simpan SSPN dan penambahan simpanan, layari portal www.lovesspn.com.
-Berita Harian