KUALA LUMPUR : Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan 24 Mac ini untuk pendengaran rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dan membatalkan perbicaraan kes rasuahnya.
Ia merupakan peluang terakhir bekas Wanita Pertama itu untuk berbuat demikian dan sekiranya gagal, Rosmah perlu reda dengan kehadiran Sri Ram dalam perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mustaffa P. Kunyalam ketika dihubungi media di sini.
“Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak terlibat untuk memfailkan hujahan masing-masing pada 9 Mac ini,”katanya.
Prosiding pengurusan kes rayuan yang dijalankan secara Zoom itu didengar oleh Timbalan Pendaftar, Siti Hajar Mustaffa yang turut disertai Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn dan peguam Datuk Jagjit Singh bagi pihak Rosmah.
Pada 6 Disember 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan yang diketuai Sri Ram.
Pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal atas alasan relif yang dimohon oleh Rosmah adalah berbentuk pengisytiharan (deklarasi) yang mana mahkamah jenayah tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Pada 6 Mei 2021, Rosmah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan keseluruhan perbicaraannya daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes rasuah yang dihadapinya.
Pada 24 September tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan wanita itu atas alasan pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah, selain tiada keperluan untuk membahaskan isu kesahihan berhubung fiat (surat pelantikan).
Rosmah kini sedang dibicarakan atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Perbicaraan yang memasuki peringkat bela diri itu akan bersambung Isnin ini (10 Januari) dengan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ketiga.
-Utusan Online