KUALA LUMPUR : Stor barang di Rumah Anak Yatim Mary di Taman Air Panas, Setapak, di sini, musnah dalam kebakaran pada awal pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas penghuni rumah itu meliputi 32 kanak-kanak termasuk 20 perempuan, bersama dua lelaki dan tiga wanita, berjaya menyelamatkan diri.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.31 pagi tadi.
Susulan itu, katanya, 26 anggota bomba bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, BBP Wangsa Maju, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Jalan Tun Razak serta BBP Sentul dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, anggota mendapati berlaku kebakaran membabitkan stor barang di belakang rumah anak yatim yang juga banglo dua tingkat itu.
“Kebakaran menyebabkan stor berkenaan musnah 80 peratus. Api berjaya dikawal pada jam 2.21 pagi dan padam sepenuhnya jam 3.30 pagi.
“Operasi ditamatkan pada jam 5.48 pagi, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
-Berita Harian