SEREMBAN : Pakatan Harapan (PH) tidak akan menerima cadangan pembentukan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tanpa DAP.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata DAP dan PKR adalah parti induk dari awal dan masing-masing sudah membuktikan kesetiaan.
“Sekarang kita dengan AMANAH dan UPKO di Sabah, tapi jika mereka (PN) hendak bincang secara berasingan dengan PKR atau DAP, kita tiada halangan.
“Tapi untuk memberikan syarat (kerjasama) tanpa DAP atau tanpa PKR, sukar diterima,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada sesi dialog pada Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di sini, hari ini.
Terdahulu, terdapat pandangan dalam kalangan pimpinan BERSATU yang bersedia menjalinkan kerjasama dengan PKR dan AMANAH bagi menghadapi PRN Johor, namun tanpa DAP.
Ia susulan cadangan bekas Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Datuk Mazlan Aliman, agar PH bekerjasama dengan BERSATU dan PAS pada PRN Johor bagi berdepan BN.
Mazlan berkata, jika kerjasama itu mampu direalisasikan, PH berupaya membentuk pakatan terbesar sekali gus memberi cabaran buat BN.
Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan logo berasingan pada PRN Johor, beliau yang juga Presiden PKR berkata, perkara itu tidak akan menimbulkan masalah dalam kalangan ahli gabungan PH.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, ia adalah antara sebahagian daripada strategi pakatan itu untuk memenangi hati pengundi di Johor.
“Penggunaan logo ini sudah dipraktikkan sebelum ini seperti mana pada PRN Sabah dan Sarawak namun pada PRN Melaka kita kembali menggunakan satu logo PH.
“Tapi ia tidak jejaskan hubungan dan kepemimpinan PH masih terus mantap. Jadi ada orang cuba hendak gunakan isu logo ini sebab tertentu sedangkan dasar sama, manifesto sama.
“Sebab apa logo lain kerana pernah berlaku, PRU 2013 dan PRU 2018, semua pakai PKR.
“Kita guna kerana sentimen terutama di desa, orang Melayu dan itu pandangan kita, jadi saya fikir ia tidak ada masalah dan mereka hanya cuba besar-besarkan perkara ini,” katanya.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata PKR akan bertanding pada PRN Johor menggunakan logonya sendiri, manakala dua sekutunya dalam PH, iaitu DAP dan AMANAH menggunakan logo gabungan parti pembangkang berkenaan.
-Berita Harian