KUALA LUMPUR : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulangi pendirian kerajaan tidak lagi melaksanakan sekatan terhadap pergerakan rakyat serta sektor ekonomi, sebaliknya memberi lebih banyak kelonggaran dalam menghadapi penularan COVID-19.
Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan kini mengambil pendekatan lebih teratur serta tidak terlalu keras, dengan berpandukan nasihat oleh Kementerian Kesihatan (KKM), terutama berkaitan prosedur operasi standard (SOP).
“Kerajaan kini memberi tumpuan bagi terus mengurangkan kes pandemik dan pada masa sama, memulihkan ekonomi.
“Apabila pemberian dua dos serta dos penggalak vaksin COVID-19 selesai nanti, kita akan melonggarkan lagi SOP sedia ada berdasarkan nasihat KKM.
“Dua hari lalu, kerajaan sudah mengumumkan tidak lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat pergerakan rakyat. Tiada lagi istilah menyekat pergerakan dari daerah ke daerah serta dari negeri ke negeri lain,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, sempadan Malaysia masih ditutup berikutan kes COVID-19 di negara luar masih tinggi.
“Justeru, kita berhati-hati walaupun sudah memulakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan Singapura.
“Kita juga sedang membincangkan VTL dengan Indonesia. Sepatutnya, VTL ke Thailand juga dilaksanakan tetapi kes meningkat, maka kita menggantung pergerakan ke luar negara ini dulu,” katanya.
Perdana Menteri memaklumkan ketika ini, industri pelancongan belum dibuka sepenuhnya walaupun pelancongan domestik sudah beroperasi semula.
Katanya, pelancong antarabangsa belum dibenarkan memasuki Malaysia, dan industri itu masih memerlukan bantuan kerajaan dengan pemberian subsidi upah masih diteruskan kepada industri pelancongan negara.
Bagaimanapun, beliau berkata, pembukaan semula sektor ekonomi menyebabkan keadaan ekonomi bertambah baik, malah pelaburan langsung asing (FDI) dan nilai dagangan meningkat dengan kini mencecah RM2 trilion, manakala pertumbuhan ekonomi tahun ini dijangka meningkat 5.5 hingga 5.6 peratus.
“Saya membangkitkan isu ini kerana dalam media sosial, ada khabar angin menyatakan negara akan melaksanakan PKP pada raya ini dan semua tidak boleh balik kampung, sedangkan balik kampung ini penting untuk kita.
“Ada yang menyatakan perniagaan akan ditutup, justeru dua hari lalu, saya mengumumkan kita tidak tutup. Boleh balik kampung pada raya ini dan sambutan ‘balik kampung’ sangat tinggi sekali,” katanya.
-Berita Harian