JOHOR BAHRU : UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai isyarat kebangkitan parti, untuk terus mengemudi pentadbiran negara.
Itu amanat yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dalam pertemuan bersama komponen BN Johor, di sini, hari ini.
Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata amanat UMNO dan BN perlu meraih kemenangan besar pada PRN Johor itu antara inti pati dan mesej utama yang disampaikan dalam pertemuan itu.
“Amanat Presiden tadi adalah mengenai hala tuju UMNO dan BN yang perlu menang besar di Johor.
“Ini kerana komposisi kaum di Johor adalah pelbagai dan berbilang seperti komposisi kaum di seluruh Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU).
“Kemenangan besar UMNO dan BN pada PRN Johor akan beri mesej dan isyarat terhadap keupayaan parti bagi menghadapi PRU nanti.
“Oleh sebab itulah Presiden menekankan mesej supaya UMNO dan BN memerlukan sokongan semua kaum bagi memastikan kemenangan besar parti, sekali gus memberi isyarat kebangkitan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pertemuan Pengerusi BN dengan komponen BN Johor, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid meninggalkan pekarangan Bangunan UMNO Johor selepas pertemuan bersama komponen BN berakhir, berikutan difahamkan akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, tengah hari tadi.
Sementara itu, Mohamad berkata, presiden parti turut menekankan supaya gerak kerja jentera parti lebih berfokus supaya sebarang keliruan tidak timbul.
“Gerak kerja jentera yang lebih berfokus amat penting supaya kerjasama antara parti dilakukan sebagai BN bukannya setiap parti secara bersendirian.
“Ini kerana komposisi kaum di Johor di setiap DUN bahkan Parlimen memang mengandungi komposisi berbilang kaum seperti di Persekutuan.
“Oleh itu, amat penting jentera parti dilihat secara bersepadu dan sebagai BN supaya masyarakat berbilang kaum akan menyokong kita, sekali gus memberi kemenangan yang besar,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, berkata BN perlu menang besar pada PRN Johor kali ini bagi membolehkan sebuah kerajaan negeri yang kukuh dapat dibentuk.
“Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad telah memilih waktu sesuai bagi PRN diadakan, jadi mengikut percaturan beliau ini adalah masa yang terbaik.
“Menerusi amanat Presiden dan Timbalan Presiden BN, kita dapat dengar hala tuju untuk parti menang besar pada PRN kali ini. Amanat yang disampaikan cukup terang dan BN perlukan sokongan daripada pelbagai kaum.
“Justeru, kita perlu sokongan dan pandangan setiap komponen parti BN bagi mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda MIC yang juga ADUN Tenggaroh, K Raven, berkata BN tidak boleh terlalu yakin sebaliknya perlu bekerja keras bagi memenangi PRN kali ini.
Katanya, jentera parti perlu bertemu dan mendekati masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Sebuah kerajaan yang stabil perlu dibentuk di Johor, menerusi mandat rakyat. MIC sudah bersedia dengan jentera parti di setiap 450 cawangan di seluruh negeri.
“Lebih 2,000 ahli jentera parti akan membantu kempen sepanjang PRN. Selain itu jentera parti di peringkat Pusat juga akan turut membantu,” katanya.
-Berita Harian