KUALA LUMPUR : UMNO menyasar untuk bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata jumlah itu belum mengambil kira kerusi DUN bagi parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Beliau berkata, parti itu masih di peringkat perbincangan bersama rakan komponen dan akan memutuskan jumlah akhir tidak lama lagi.
“Kami menyasar minimum 42 daripada 56 kerusi DUN di Johor. Ini hanya mengambil kira UMNO sahaja,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi UMNO susulan pembubaran DUN Johor yang diperkenankan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Sabtu lalu, bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.
Ditanya tahap persediaan UMNO menghadapi PRN Johor, khususnya berdepan pertambahan hampir 30 peratus pengundi baharu, Mohamad mengakui parti itu bakal cabaran genting dalam PRN itu.
Beliau juga mengakui parti itu sukar meramalkan apa yang bakal berlaku dalam PRN Johor, khususnya sentimen pengundi baharu susulan pelaksanaan pendaftaran automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas.
“Persediaan kita dalam menghadapi PRN Johor masih belum selesai lagi, namun tentunya kita perlu bersiap siaga, khususnya dengan fokus baharu membabitkan pertambahan jumlah pengundi.
“Untuk Johor, jumlah pengundi bertambah kepada lebih 700,000. Ini bermakna semua pihak perlu bekerja keras, termasuk UMNO.
“PRN ini bukan mudah bagi UMNO. Kita tidak tahu apa yang bakal kita hadapi,” katanya.
-Berita Harian