PETALING JAYA : Umat Islam digalakkan membuat perancangan dan pengurusan harta secara bijak bagi memberikan kemudahan kepada waris dan mereka yang layak terhadap aset yang ditinggalkan.
Jika tiada perancangan, ia akan menimbulkan kesulitan kepada waris-waris terutama dalam keadaan pemilik harta meninggal dunia dan mempunyai liabiliti yang belum dilangsaikan sebelum kematiannya.
Ketika ini, terdapat banyak pakar perancangan harta pusaka Islam yang berpengalaman dalam menjalankan kerja pentadbiran harta pusaka, antaranya as-Salihin Trustee Berhad yang ditubuhkan sejak 2004 dan diasaskan oleh Allahyarham Tun Mohd Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara.
as-Salihin Trustee Berhad dibentuk bawah Akta Syarikat 2016 dan didaftarkan bawah Akta Syarikat Amanah 1949 untuk memenuhi keperluan umat Islam bagi memelihara, melindungi dan mengagih harta mengikut prinsip Syariah.
Sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk mentadbir harta orang Islam, as-Salihin Trustee Berhad telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada masyarakat untuk mengurus harta mereka sama ada semasa hidup atau selepas meninggal dunia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed berkata, Islam menegaskan tentang keperluan untuk umatnya merancang dan memanfaatkan harta dengan sebaik-baiknya.
PERANCANGAN HARTA
Katanya, umat Islam boleh membuat perancangan harta masing-masing secara wasiat di as-Salihin Trustee Berhad untuk dibahagikan sebanyak 1/3 daripada harta pusaka bersih kepada penerima atau ‘benefisiari’ dikalangan bukan waris yang telah ditentukan selepas kematian.
“as-Salihin Trustee Berhad akan bertindak sebagai wasi yang akan mentadbir urus harta-harta pusaka pewasiat meliputi hutang-piutang, harta yang diwasiatkan dan harta yang tidak diwasiatkan.”
“Bagaimanapun, tidak dinafikan sekarang masih ramai umat Islam yang masih tidak sedar mengenai perkara ini sekaligus menyebabkan perkara tidak diingini berlaku selepas kematian.”
“Perlu dijelaskan kepada semua, merancang pewarisan pusaka boleh mengelakkan masalah seperti pertelingkahan sanak saudara dan harta tidak dituntut,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Abdul Aziz, sejak penubuhannya pada 2004 hingga sekarang, as-Salihin Trustee Berhad telah membantu lebih 50,000 umat Islam membuat perancangan harta pusaka dan kini sedang mentadbir harta pusaka untuk 500 pewasiat di as-Salihin dan telah mengagihkan lebih RM500 juta nilai pusaka kepada ahli waris pewasiat.
“Umat Islam ini sebenarnya ramai yang berkemampuan, ia tidak dihebohkan sebab itu ramai yang tidak tahu. Kita sudah menguruskan pelbagai kes selain perlu berdepan pelbagai karenah sebelum harta pusaka itu dapat diagihkan.”
RM70 bilion
“Untuk rekod, disebabkan kurang kesedaran dan sikap ambil mudah menjadi faktor hampir RM70 bilion nilai harta pusaka dengan majoritinya milik orang Islam di negara ini tidak dituntut hingga kini.”
“Nilai wang yang sangat besar ini dibekukan begitu sahaja. Jika dicairkan ia mampu memberi lebih manfaat kepada waris dan secara tidak langsung memajukan ekonomi orang Islam itu sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, sebagai pakar perancangan harta pusaka Islam dan berpengalaman dalam menjalankan kerja pentadbiran harta pusaka, as-Salihin Trustee Berhad dilihat sebagai salah satu peneraju dalam industri perancangan harta pusaka di negara ini.
Selain itu katanya, untuk memberi penerangan berkenaan agihan juga pihaknya berdepan masalah kerana ramai yang tidak memahami ilmu dan kaedah agihan faraid termasuk hak lelaki dan wanita.
“Jika ada anak angkat, keluarga bukan Islam, boleh diwasiatkan maksimum 1/3 dalam wasiat, selain itu kita juga galakkan dalam wasiat untuk orang Islam bersedekah. Apa yang penting zakat terakhir mereka juga kita akan tunaikan.”
“Maknanya, kita selesaikan hutang dunia dan akhirat si mati. Selepas selesai semuanya, barulah kita laksanakan pengagihan baki harta mengikut kaedah muafakat atau Faraid dan waris yang wajib berhak ibu bapa, isteri/suami dan anak-anak,” jelasnya.
5,000 PERANCANG HARTA
Sementara itu katanya, ketika ini pihaknya mempunyai lebih 5,000 Perancang Harta Pusaka Islam yang berperanan sebagai agen perkhidmatan yang ditawarkan selain mempunyai lima cawangan pejabat di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang.
Abdul Aziz yang ditemui pada Konvensyen Tahunan as-Salihin Trustee Berhad Yang Ke-17 diadakan bagi mengiktiraf kejayaan para Perancang Harta Pusaka (IEP) juga menggalakan orang ramai yang berminat untuk menyertai industri ini untuk sertai Kursus IEP yang dikendalikan oleh pihak as-Salihin Trustee Berhad untuk menjadi Perancang Harta Pusaka Islam (IEP) yang berdaftar.
Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat katanya, pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah dianjurkan selain mengadakan siri jelajah seperti mengagihkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada golongan miskin bandar dan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19 serta melalui kutipan zakat dimana kami adalah amil zakat bagi Wilayah Persekutuan Kuala lumpur, Selangor dan Kelantan.
“Kita juga gunakan media sosial untuk tingkatkan kesedaran masyarakat terutamanya golongan muda. Sesiapa sahaja boleh sertai as-Salihin Trustee Berhad termasuk mereka yang pada masa kini tidak memiliki harta yang banyak kerana harta adalah bersifat dinamik, yang penting kita galakkan mereka merancang,” katanya.
“Sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini as-Salihin turut memaksimum penggunaan teknologi digital bukan sahaja untuk memberikan kempen kesedaran tetapi melaksanakan sesi pembacaan wasiat kepada ahli waris menerusi sidang video secara atas talian. Ini dapatkan memudahkan untuk mengumpulkan ahli waris termasuk mereka yang berada diluar negara dan ianya sangat efektif dan efisien,” katanya.
Dalam pada itu katanya, as-Salihin Trustee Berhad merancang untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat pada masa akan datang selain mempelbagaikan kaedah untuk meningkatkan kesedaran tentang rancangan dan pengurusan harta.
“InsyaAllah, untuk lima tahun akan datang juga kita menyasarkan untuk menambah cawangan pejabat di seluruh negara. Yang terdekat ialah cawangan baharu akan dibuka di Ipoh, Perak, doakan segala usaha ini tercapai demi kebaikan semua,” katanya.
-Utusan Online