MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga dengan lebih 12,500 anggota, bagi tujuan operasi di kawasan berisiko kebakaran, susulan cuaca panas dijangka Mac depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, cuaca panas itu juga dijangka mengakibatkan berlaku krisis air dan kemarau yang berisiko menyebabkan berlakunya kebakaran hutan serta jerebu.
Katanya, JBPM bersiap sedia sejak kesiapsiagaan pengurusan banjir sebelum ini, termasuk belum menutup bilik gerakan di negeri.
“Cuti anggota juga masih lagi kita tidak longgarkan, tapi ia bergantung kepada pengarah bomba negeri melihat keadaan di negeri masing-masing.
“Kesiapsiagaan banjir kita akan teruskan. Sekarang ini, dari segi kemarau dan juga kebakaran hutan tanpa menolak kecemasan harian yang berlaku dan perlu dikendalikan bersama agensi lain.
“Anggota dan pegawai lapangan diletakkan dalam keadaan siap siaga menghadapi kebakaran pada musim kemarau yang dijangka melanda negara pada Mac ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat JBPM Melaka yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali
Mohammad Hamdan berkata, semua aset logistik berkaitan seperti pengangkutan, sistem pam dan sumber air turut dipastikan dalam keadaan baik, selain dron dan helikopter bagi memantau lokasi yang berlaku kebakaran dari udara.
“Sejak empat unit dron besar digunakan dalam musim banjir sebelum ini, ia meminimumkan penggunaan dan risiko ke atas anggota serta memudahkan pengesanan saiz dan kawasan panas kebakaran.
“Sekiranya ada kawasan hotspot yang kita kenal pasti terutama sekali di Melaka, Selangor, Pahang dan Perak, kita akan menggerakkan aset ke pengkalan hadapan supaya respons lebih cepat untuk memastikan tidak berlaku jerebu yang teruk,” katanya.
BHonline-