PUTRAJAYA : Dakwaan pihak tertentu konon waktu solat fardu adalah salah kerana bumi berputar perlahan belum lagi diperakui oleh mana-mana badan yang berautoriti di negara ini.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi kenyataan dalam laman sesawang rasmi melalui pautan slot Bayan Al-Falak berkata, andaian tersebut juga adalah agak kabur dan belum disahkan sebarang agensi berautoriti di Malaysia setakat ini.
Awal tahun ini, warganet tempatan digemparkan dengan pelbagai hantaran melalui media sosial yang mendakwa kononnya ada kesilapan waktu azan solat fardu untuk seluruh negara ekoran tular perkongsian dari sumber luar negara yang memetik penemuan diterbitkan oleh Journal for the History of Astronomy dengan menyatakan bumi semakin perlahan berputar.
Dapatan itu hasil kajian dilaksanakan penyelidik Universiti Durham, England pada 2012 yang mendakwa putaran planet ini sudah pun perlahan sejak lebih 700 tahun sebelum Masihi dan mendapati kira-kira 530 juta tahun dahulu, putaran sehari bumi ialah 21 jam atau 420 hari setahun sebelum mula bertambah lambat dan diramal akan menjadi 25 jam setiap hari.
Bumi ketika ini berputar dengan kelajuan purata 1,600 kilometer sejam dan apabila ia mula bergerak perlahan, situasi itu turut mempengaruhi ketepatan waktu solat dalam takwim harian.
Mengulas lanjut, PMWP berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama erat dengan pelbagai agensi awam dan institusi pengajian tinggi dalam isu penetapan jitu lima waktu solat selain melakukan beberapa siri semakan waktu solat tertentu seperti kes azan zohor yang pernah tular suatu ketika dahulu apabila didakwa salah.
Bagaimanapun, PMWP tidak menolak kemungkinan berlaku kesilapan paparan waktu jam digital di dinding masjid atau surau ekoran sudah lama tidak diselenggara.
Kesalahan itu meskipun mungkin remeh, tetapi ada mengakibatkan berlaku kes azan Maghrib awal sebelum matahari terbenam 90 darjah atau azan Subuh sebelum fajar sadiq 108 darjah.
Keadaan ralat sedemikian ujarnya, tidak dinafikan wujud dalam kalangan masyarakat dan pernah terjadi muazin melaungkan azan terlalu cepat berbanding waktu sebenar yang ditetapkan sekali gus mendatangkan implikasi besar.
Bahkan ada kes satu kariah perumahan di Selangor diarah menggantikan puasa Ramadan tahun lalu apabila azan Maghrib dilaungkan awal.
Kesalahan itu hanya disedari pegawai pejabat agama dan hasil penyiasatan lanjut mendapati ia berpunca daripada paparan jam digital azan yang menunjukkan kesilapan waktu setempat.
“Justeru, PMWP mengesahkan takwim rasmi waktu solat di tiga Wilayah Persekutuan sudah disusun berdasarkan kaedah hitungan disepakati Mesyuarat Jawatankuasa Falak,” tegasnya.
Malahan di Malaysia secara am, waktu solat fardu diperakui Jabatan Mufti setiap negeri susulan kajian dibentangkan dalam muzakarah dan munaqasyah yang boleh dirujuk orang awam.
-Utusan Online