Kuala Lumpur : Selepas pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 pada akhir tahun lepas, tumpuan kini terarah kepada agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijangka diumumkan pada suku pertama tahun ini.
Persoalan yang berlegar dalam kalangan penyimpan ialah sama ada kadar agihan keuntungan selepas zakat kali ini lebih baik atau tidak jauh berbeza dengan 2019 dan 2020, iaitu sekitar 3.0 peratus.
“Agihan keuntungan TH sentiasa menjadi tumpuan penyimpan kerana sebelum 2018, TH sentiasa memberikan kadar agihan keuntungan yang tinggi terutama sejak 2007, iaitu 5.0 hingga 8.25 peratus, satu kadar yang jarang dapat ditandingi oleh pelaburan tetap lain kecuali ASB, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Rakyat.
“Namun bermula 2018, peratusan agihan keuntungan hanya sekitar 1.25 dan 3.1 peratus disebabkan isu rosot nilai dan tadbir urus. Bagaimanapun, itu tidak menghalang penyimpan daripada berharap agihan keuntungan TH kembali seperti dulu,” kata penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff kepada Bernama.
Selain itu katanya, penyimpan tertunggu-tunggu pengumuman itu kerana simpanan TH boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan tanpa had, sekali gus dapat membantu pendeposit yang berdepan masalah kewangan pada kadar segera.
Jelas beliau, ini berbeza dengan KWSP yang hanya boleh dikeluarkan selepas pencarum bersara sementara pengeluaran ASB pula hanya boleh dibuat pada waktu pejabat, sama ada di pejabat KWSP, bank tertentu atau pejabat pos.
Di sebalik keadaan ekonomi semasa yang masih belum memberangsangkan, ada yang percaya TH akan memberikan agihan keuntungan lebih tinggi tahun ini mengambil kira institusi itu tidak menghantar jemaah haji pada musim lepas.
Merungkai persoalan itu, pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, pendeposit perlu menerima hakikat bahawa simpanan mereka yang juga berbentuk pelaburan, terdedah kepada persekitaran yang kekal mencabar sepanjang tahun lepas akibat Covid-19.
“Saya jangka TH akan cuba sedaya upaya untuk mengisytiharkan kadar agihan keuntungan dalam lingkungan tiga peratus berbanding 3.10 pada 2020.
“Jika kita bernasib baik TH mungkin boleh mengekalkan kadar agihan keuntungan pada 3.10 peratus seperti tahun lepas dan ini boleh dianggap sebagai prestasi terbaik yang boleh dijangkakan.
“Tetapi saya tidak hairan sekiranya TH hanya berupaya mengisytiharkan kadar agihan keuntungan lebih rendah antara 2.7 dan 2.9 peratus untuk 2021,” katanya.
Jelas beliau, ini berdasarkan prestasi TH yang mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 2.2 peratus kepada RM1.22 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2021, berbanding RM1.25 bilion bagi tempoh sama pada 2020.
Penurunan keuntungan itu berikutan keadaan pasaran dunia yang mencabar, sekali gus memberikan impak kepada aktiviti pelaburan TH dalam sektor antaranya hartanah, pasaran ekuiti dan perladangan kelapa sawit, kata beliau, menambah pelaburan dalam hartanah kekal malap akibat Covid-19 dan penutupan ekonomi.
Menurut Barjoyai, sekalipun separuh tahun pertama 2021 menunjukkan persekitaran ekonomi yang baik dengan ekonomi negara tumbuh 6.1 peratus pada Mac, 39.7 peratus pada April dan 19.3 peratus pada Mei, negara mencatatkan perkembangan negatif bermula Jun.
“Pertengahan tahun kedua, ekonomi terus menurun dengan mencatatkan pertumbuhan negatif 7.8 peratus pada Julai, -4.7 peratus (Ogos) dan -2.1 peratus (September). Ekonomi dianggarkan meningkat sedikit pada November tetapi turun kembali pada Disember,” katanya.
Barjoyai berkata, secara keseluruhan, persekitaran ekonomi negara pada 2021 adalah lebih mencabar, khususnya pada separuh kedua dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar antara 1,534 dan 1,543 mata, membayangkan jajaran pasaran yang sempit serta tidak aktif berbanding setengah tahun pertama.
Walaupun ramai mengetahui akan kesan pandemik itu, masih ada yang berpendapat TH mampu memberikan kadar keuntungan yang tinggi memandangkan agensi pengurus dana haji rakyat Malaysia itu tidak menghantar jemaah mengerjakan haji pada musim 2021 yang lalu.
Bersandarkan laporan media bahawa TH membelanjakan sekitar RM400 juta setahun dalam bentuk subsidi haji, mereka berhujah TH boleh menggunakan penjimatan untuk 2021 itu bagi membayar agihan keuntungan yang lebih baik.
“Penjimatan RM400 juta itu sebenarnya penjimatan kasar berasaskan pada kos melepas. Sebenarnya, TH juga mengalami kerugian disebabkan penangguhan sesi haji untuk 2021 kerana TH sudah membayar komitmen dan deposit untuk persiapan haji bagi tahun berkenaan.
“Angka kerugian ini adalah besar berbanding dengan kos mengerjakan haji. Katakanlah TH menikmati penjimatan bersih RM200 juta daripada penangguhan musim haji 2021, angka itu hanya akan menyumbang kira-kira 0.24 peratus kepada pendapatan tambahan,” jelas Bardoyai.
-Harian Metro