WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata pada Khamis bahawa Ketua Daesh, Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurashi membunuh diri dengan menggunakan bahan letupan ketika askar-askar unit khas AS menyerbu lokasi persembunyiannya di Syria pada waktu malam.
Biden berkata, rumah yang diserbu oleh unit khas itu dengan menggunakan sebuah helikopter terletak di bandar Atme dan dihuni oleh keluarganya termasuk kanak-kanak.
“Ketika askar-askar kami menghampiri untuk menangkapnya, dalam satu tindakan terakhir sebagai ‘pengecut’ terdesak, tanpa mengambil kira nyawa keluarganya sendiri atau orang lain di dalam bangunan itu, dia memilih untuk meletupkan dirinya,” kata Biden pada waktu pagi.
Qurashi meletupkan juga keseluruhan tingkat atas kediamannya dengan membawa beberapa ahli keluarganya berada bersamanya, kata Presiden AS itu dalam ucapan ringkas dari Bilik Roosevelt, Rumah Putih.
Serbuan itu dilakukan pada malam sebelumnya di bandar tersebut yang terletak dekat sempadan Turki.
Dalam pada itu, ketua Komando Pusat AS, Jeneral Kenneth McKenzie berkata bahawa Qurashi tidak menentang askar-askar AS tetapi meletupkan bahan letupan ketika pihaknya cuba memintanya untuk menyerah diri.
Tiada kemalangan jiwa dalam kalangan askar AS dilaporkan.
Bangunan tiga tingkat itu dengan bingkai tingkap koyak, siling hangus dan sebahagiannya runtuh, kata seorang koresponden AFP yang berada di tempat kejadian.
-Sinar Harian