KUALA LUMPUR : Bagi memastikan tidak diperalatkan oleh Barisan Nasional (BN) dan memastikan parti itu tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mencadangkan agar Perikatan Nasional (PN) menarik diri.
Khalid berkata PN boleh memainkan peranan untuk memastikan ‘undi menolak BN’ tidak akan terpecah dan hanya diperolehi oleh Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, apa yang berlaku ketika PRN Melaka sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran apabila ‘undi menolak BN’ terpecah kepada PN dan PH.
“Sebenarnya strategi yang sama telah diusahakan BN semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Pada masa itu PAS digunakan sebagai alat pecah dan perintah dengan dipujuk dan dipikat BN untuk meninggalkan Pakatan Rakyat (PR).
“Harapan BN adalah, dengan itu PR akan kalah di Pantai Barat kerana PR akan kehilangan undi PAS. Sambil itu, PAS akan kalah di Pantai Timur kerana kehilangan undi PR,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Bagaimanapun kata Khalid, strategi BN tidak berjaya apabila PH bergabung dengan Bersatu yang dipimpian oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan memenangi lebih kerusi di Pantai Barat.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, dalam suasana dan realiti sebegini, PN sebenarnya memegang kunci kepada kekalahan BN di Johor.
“Setelah puas digunakan oleh BN, PAS dan PPBM sekarang ini ingin dibuang oleh BN.
“Ini jelas berlaku di Melaka di mana selepas PRN Melaka, dua ADUN PPBM diabaikan BN dan mereka duduk bersama pembangkang yang diketuai YB Adly Zahari.
“PN terus dihina BN dengan gelaran-gelaran memalukan dan diperlakukan sebagai kumpulan yang tiada nilai dan tidak bermaruah.
“Ini dilakukan walaupun BN masih memerlukan sokongan PN di Putrajaya.
“Hina sungguh PN dilakukan sedemikian rupa oleh BN namun BN yakin PN tidak akan bertindak balas kerana perkara yang amat sangat disayangi mereka sedang dipegang kemas oleh BN,” katanya lagi.
Justeru, kata Khalid tidak ada cara lain untuk PN melainkan menerima cadangan ekstrim yang sukar diterima dengan tidak bertanding dalam PRN Johor.
Katanya, dengan cara itu BN dapat dikalahkan oleh pengundi-pengundi yang mahu menolak gabungan tersebut.
-Awani