PETALING JAYA : Setiap prosedur operasi standard (SOP) untuk menunaikan ibadah umrah ditetapkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, urusan umrah berkait rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“SOP berkenaan Umrah dan apa-apa syarat di pihak kerajaan Saudi, seperti mengambil dos penggalak. Kita ikut apa yang pihak sana tetapkan.
“Pintu untuk berangkat ke sana juga sudah dibuka, jadi untuk jemaah yang ingin menunaikan Umrah ikut la syarat-syarat ditetapkan,” katanya semasa sidang media di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Radio Zayan menganjurkan Program Usrah Bersama Anak Muda di Malaysia Tourism Centre (MaTiC).
Program tersebut diadakan sebagai kesinambungan dari Pelancaran Sambutan Bulan Solat Peringkat Kebangaaan bagi tahun 2022.
Idris berkata, program tersebut bertujuan untuk menarik minat golongan remaja agar mereka dapat menghayati ibadah solat sebagai amalan fardhu bagi seorang muslim yang mukallaf.
Jelasnya lagi, program ini akan memberi galakkan kepada masyarakat untuk menanam kesedaran dan membuktikkan Islam serta amalannya mudah.
“Otak kita kadang-kadang nak sembahyang je mesti fikir dekat surau atau masjid. Jadi hari ini kita buat di tempat terbuka untuk membuktikan bahwasanya tanggapan tersebut salah,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya sedang menunggu agensi-agensi Umrah untuk memberikan senarai nama jemaah yang tidak dapat berangkat ke Tanah Suci sebelum ini bagi memulakan bayaran pampasan.
-Utusan Online