TWITTER menggantung sementara paparan iklan di platformnya bagi pengguna di Ukraine dan Rusia dalam usaha meletakkan isu keselamatan orang ramai sebagai keutamaan ketika ini.
Ketika tentera Rusia mendekati Kiev dan ketegangan antara dua negara semakin meningkat, Twitter berpendapat bahawa siaran iklan hanya akan mengganggu pengguna daripada mendapatkan maklumat kritikal.
“Kami buat masa ini menghentikan iklan (bagi pengguna) di Ukraine dan Rusia untuk memastikan maklumat kritikal tentang keselamatan orang awam lebih mudah diakses dan iklan tidak mengganggunya,” kata kenyataan syarikat itu pada Jumaat.
Syarikat jaringan sosial itu juga memberitahu, pihaknya menghentikan sementara rekomendasi ciapan dari individu yang tidak diikuti oleh pengguna di garis masa ‘Home’, untuk mengurangkan penyebaran kandungan yang melampau.
Selain daripada itu, Twitter turut membuat pemantauan secara proaktif untuk menilai tweet yang menyalah guna platformnya, serta berusaha membanteras media dan kandungan yang bersifat manipulatif.
Itu termasuk pihak yang memberikan gambaran palsu atau maklumat tersasar berkaitan konflik di Ukraine.
Twitter menyatakan, pihaknya memantau aktif akaun berprofil tinggi termasuk golongan wartawan, aktivis, dan pegawai kerajaan serta agensi supaya dapat mengawal kemungkinan pengubahsuaian maklumat bersasar.
Perubahan polisi Twitter itu dibuat selepas operasi tentera Rusia sudah tiga hari dilancarkan di Ukraine. Operasi itu diluluskan Presiden Rusia Vladimir Putin dengan tujuan membebaskan Ukraine dari tentera dan juga pengaruh Nazisme.
Awani-