WASHINGTON : Pengawal selia kesihatan Amerika Syarikat (AS) menangguhkan semakan vaksin COVID-19 Pfizer untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun berikutan regimen dua dosnya tidak berfungsi dengan baik terhadap varian Omicron, lapor Wall Street Journal pada Jumaat.
Minggu lalu, Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA) berkata ia memerlukan lebih banyak data mengenai vaksin itu, sekali gus menangguhkan keputusan badan itu untuk menggunakan vaksin berkenaan kepada kanak-kanak berumur enam bulan hingga empat tahun selama sekurang-kurangnya dua bulan.
Tinjauan awal pada data menunjukkan vaksin itu berkesan terhadap varian Delta ketika ia adalah strain yang dominan, tetapi beberapa kanak-kanak yang divaksinasi menghidap COVID-19 selepas Omicron muncul, kata laporan itu, memetik sumber FDA.
Bagaimanapun, memandangkan keseluruhan kes COVID-19 adalah rendah, bilangan kes Omicron yang kecil menjadikan vaksin itu kelihatan kurang berkesan dalam analisis statistik awal, tambah laporan itu.
FDA tidak memberi reaksi terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.
Pfizer dan BioNTech menyerahkan data dua dos pertama regimen tiga dos yang dirancang awal bulan ini atas permintaan FDA. Pfizer tidak mendedahkan data keberkesanan.
Penyerahan itu mengejutkan kerana pada Disember, syarikat itu berkata keputusan percubaan awal bagi dua dos vaksin tidak mencapai jangkaan, dan percubaan klinikal dipinda untuk menguji versi tiga dos.
-Berita Harian