KANGAR : Seorang lelaki yang kecewa dengan teman wanitanya yang mempunyai kekasih baharu dipercayai bertindak membakar diri dan keretanya dalam kejadian di Kampung Syed Omar, Bintong di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, mangsa yang berusia 28 tahun itu juga dilaporkan melecur 96 peratus pada bahagian badannya.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di atas jambatan Kampung Syed Omar dan mangsa merupakan seorang pemilik kedai aksesori kenderaan.
“Seorang saksi dalam perjalanan pulang memberhentikan keretanya di belakang kereta mangsa yang sedang terbakar dan mendapati lelaki itu sedang berjalan ke arah arahnya.
“Saksi tersebut tersebut kemudian keluar dari kereta dan cuba menenangkan mangsa sebelum menghubungi pihak polis, bomba dan ambulans,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan tidak lama kemudian sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tengku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa merupakan seorang pesakit luar Jabatan Psiakitri HTF dan mempunyai rekod beberapa kali cubaan membunuh diri termasuk mengelar tangan pada Januari lalu dan meminum racun tikus sehari sebelum kejadian.
“Bapa mangsa ingin membuat laporan polis selepas anaknya mendakwa terminum petrol dan keluar dari rumah menaiki kereta Perodua Axia berwarna biru untuk pergi memotong rumput di rumah datuknya dI Kaki Bukit kira-kira pukul 8.45 malam.
“Sebaik sahaja tiba di balai Polis Kangar, pihak polis memaklumkan menjumpai sebuah kereta terbakar sebelum dia ke lokasi dan mengesahkan kereta yang terbakar itu milik anak lelakinya,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Wari memberitahu, mangsa berada dalam keadaan kritikal dan diberikan bantuan pernafasan di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma HTF selepas melecur 96 peratus anggota badan.
Katanya, pihak Forensik Bomba dan Penyelamat Perlis akan hadir melawat tempat kejadian bagi mengesan punca kebakaran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.
-Utusan Online