TUMPAT : Lelaki yang membunuh ibu tirinya dengan menetak leher wanita itu hingga putus di Kampung Dalam Senduk, Jerek di Gua Musang, petang semalam, ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 23 Februari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata suspek tampil menyerah diri di Balai Polis Bertam sejurus selepas kejadian itu berlaku pada jam 4.55 petang.
Susulan itu, katanya, polis kini menyiasat motif sebenar pembunuhan wanita itu adakah disebabkan salah faham atau akibat perasaan tidak puas hati kerana dipercayai ia membabitkan kes keluarga.
“Tangkapan sudah dibuat semalam dan siasatan awal mendapati lelaki berusia 39 tahun itu kurang siuman, malah ketika kejadian, dia juga di bawah pengaruh dadah,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Terdahulu, Shafien hadir di perumahan pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di Kampung Terbak di sini, bagi melawat empat pegawai dan anggota polis yang cedera diserang lelaki kurang siuman dalam kejadian malam Sabtu lalu.
Media semalam melaporkan seorang wanita berusia 54 tahun ditemukan mati dengan leher putus dipercayai dibunuh anak tirinya menggunakan parang.
Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya, manakala senjata digunakan juga dijumpai di lokasi.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-Berita Harian