SRI AMAN : Mayat pekerja warga Myanmar yang hilang setelah terjatuh dari kapal Ketara Teknik 10 pada Isnin lalu ditemui dalam keadaan tidak sempurna di Sungai Seterap, Lingga pada awal pagi tadi dipercayai dibaham buaya.
Mayat Thein Wai Maung, 35, ditemui di seberang Pekan Lingga sekitar jam 7.15 pagi sejauh lima kilometer (km) dari lokasi dia hilang dalam keadaan tanpa kepala dan kedua belah tangan.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman berkata mayat mangsa ditemui oleh orang kampung serta pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ketika operasi masuk hari ketiga hari ini.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Lingga pada jam 8.40 pagi sebelum diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Bingkok John ketika mengesahkan penemuan terbabit memberitahu mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sri Aman bagi tujuan bedah siasat dan saringan COVID-19.
“Dengan penemuan mayat mangsa terbabit, operasi SAR di Sungai Seterap, Lingga ditamatkan pada jam 9.10 pagi ini,” katanya.
Terdahulu, Thein yang juga jurukimpal bagi syarikat Ketara Teknik 10 Sendirian Berhad terjatuh dari kapal pada jam 10.50 pagi pada Isnin lalu.
Rakan mangsa cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana arus sungai deras ketika itu.
-Berita Harian