JOHOR BAHRU : Barisan Nasional (BN) bakal mempersembahkan manifesto yang pragmatik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam usaha menawan hati pengundi sekaligus mengembalikan pentadbiran kerajaan negeri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, BN tidak akan menjanjikan bulan dan bintang hanya sekadar untuk memenangi hati pengundi.
Menurut beliau, masyarakat khususnya pengundi sudah bijak untuk menilai apakah janji-janji yang ditawarkan sesebuah parti politik itu realistik ataupun tidak.
“Manifesto untuk PRN Johor pastilah ada, namun sekurang-kurangnya kita tidak akan bertindak seperti mereka (Pakatan Harapan) nak ‘kencing’ (tipu) sesiapa.
“Bila nak umumkan (manifesto) kita tunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapkan tarikh penamaan calon dan PRN, (sebab) nak buat semua perkara ada urutannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas majlis pembubaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Molek Harmoni yang melibatkan seramai 50 ahli termasuk ketua cawangan dan ahli jawatankuasanya keluar parti dan menyokong UMNO.
Tambah bekas Menteri Besar Johor itu, BN yakin untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dalam kemampuan sebagai sebuah kerajaan.
“Kita tidak menggunakan pendekatan menipu janji bulan bintang, kita juga bukan main sentimen atau main emosi. Sebaliknya kita nak beritahu rakyat kita boleh bawa kestabilan dan pastikan rakyat Johor ada masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas berhubung kenyataan dibuat Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mencabar UMNO agar menjadikan Datuk Seri Najib Tun Razak atau Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai poster boy PRN Johor, Mohamed Khaled memberitahu hal berkenaan bukan perkara utama dalam sesebuah pilihan raya.
Jelasnya, tindakan meletakkan poster boy tidak membawa makna sekiranya ia tidak boleh membawa kemajuan untuk negeri ini.
“Sekarang ini bukan soal siapa jadi poster boy. Soalnya ialah apa yang boleh menjadikan Johor terus maju dan terus membangun dalam negara. Poster boy ini kalau ada tetapi tidak boleh majukan Johor tidak jadi apa,” katanya.
-Utusan Online