Memang benar rakyat Malaysia termasuk di Sabah masih tidak faham mengapa Parti Warisan Sabah perlu menyertai PRN Johor pada 12 Mac ini.
Namanya sahaja sudah mengambarkan parti ditubuhkan oleh sekutu Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Md. Yasin dan Tun Mahathir Mohamad itu kurang relevan bertanding di Johor.
Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Parti Warisan Sabah bertanding PRN Johor bukan kerana mahukan kerajaan Johor, tetapi mahukan kerajaan Malaysia.
“Saya harap pilihan raya di Johor jangan fikir banyak, kita ada pilihan, pilihlah Warisan. Kita bukan mahu kerajaan Johor, kita mahu kerajaan Malaysia”
Seolah-olah bermaksud Parti Warisan Sabah bertanding bukan kerana membawa aspirasi rakyat Johor untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di negeri itu.
Kenyataan itu juga cukup mengelirukan kerana hampir pasti adalah mustahil Parti Warisan Sabah mampu menguasai kerajaan Malaysia secara solo.
Maka timbul tanda tanya apakah ia bermaksud agenda Parti Warisan Sabah adalah menguasai kerajaan Malaysia bersama sekutu-sekutunya.
Mungkinkah kesemua mereka yang pernah bersama pada PRU-14 iaitu Parti Warisan Sabah, DAP, PKR, PAN, MUDA, PPBM dan Pejuang dalam diam telah berpakat semula?
Berpakat untuk bekerjasama secara sulit untuk memastikan BN tidak menang PRN Johor dengan cara memecahbelahkan undi rakyat Johor?
Pada waktu BN dituduh membubarkan DUN supaya PRU-15 dapat diadakan segera, Shafie Apdal terang-terangan mengaku partinya menyertai PRN Johor kerana mahu menguasai kerajaan Malaysia.
Justeru, rakyat Johor seharusnya sudah dapat menilai dari sekarang sama ada wajarkah mereka mengundi parti politik yang bertanding PRN Johor bukan untuk kepentingan rakyat Johor.
Bangsa Johor tidak boleh silap undi lagi. Seperti nasihat Ustaz Datuk Mohd. Kazim Elias yang pernah dipandang sepi iaitu tersilap undi dapat tahi, maka kali ini nasihat itu sangat bertepatan untuk orang Johor pada 12 Mac ini.
Mynewshub-