SHAH ALAM : Pemimpin UMNO dan Pas seharusnya bermuhasabah dan tidak menyalahkan mana-mana pihak berikutan kegagalan mencapai kesepakatan dalam Muafakat Nasional (MN).
Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, MN merupakan produk yang baik untuk kedua-dua parti Melayu itu, malah turut disukai oleh rakyat, namun tidak diminati para pemimpinnya.
“MN merupakan jambatan kepada perpaduan ummah dan apa yang rakyat suka, pemimpin tak suka. Saya tidak tahu apakah tujuan (tidak suka), mungkin ada kepentingan tertentu untuk pemimpin parti?
“Benda yang baik akan ada usaha untuk menggagalkannya dan saya lihat ini adalah kelemahan pemimpin kedua-dua parti, bukan salah akar umbi,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin pada Selasa dilaporkan berkata, ada pemimpin tertentu dalam Pas yang cuba membakar jambatan penghubung kerjasama antara parti itu dan UMNO menerusi MN.
Katanya, terdapat beberapa pihak yang kurang selesa dengan kerjasama dibentuk antara kedua-dua parti itu sejak awal lagi.
Mengulas lanjut Othman berkata, para pemimpin seharusnya mengamalkan etika persahabatan yang baik dan sentiasa mendahulukan prinsip keutuhan agama, bangsa dan tanah air.
“Justeru saya ingin menyeru kepada akar umbi UMNO dan Pas supaya teruskan kesepakatan dalam MN dan elakkan pertelingkahan sesama kita.
“Walaupun MN dikatakan tidak berhasil, ahli kedua-dua parti jangan bergaduh. Kita tolak pemimpin yang menggunakan agama untuk raih sokongan ahli dan rakyat.
“Pada saya kesepakatan MN perlu dibiarkan sahaja, jangan dimatikan. Walaupun nanti Pas akan tolak, UMNO jangan bertindak sedemikian juga kerana mana tahu satu hari nanti (Pas) akan terima baik,” ujarnya.
-Awani