Seremban : Empat kubur di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights Senawang, di sini, mengalami sedikit kerosakan selepas kereta dipandu wanita warga emas terbabas pagi tadi.
Dalam kejadian 10.40 pagi itu, Perodua Myvi dipandu wanita berusia 60-an dikatakan terbabas ketika memusingkan kenderaan itu sehingga melanggar kubur.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, hanya empat kubur mengalami sedikit kerosakan membabitkan batu nisan.
“Wanita itu selalu datang untuk menziarah kubur arwah suaminya dan mungkin ketika itu dia tersilap sehingga kereta dipandu terbabas, ” katanya.
Katanya, pihaknya akan menghubungi waris kubur yang rosak bagi memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Sebelum itu tular di laman sosial mengenai sebuah kereta berada atas kubur di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights Senawang.
-Harian Metro