SEREMBAN : Kerajaan Negeri Sembilan mengalu-alukan dan menyokong penetapan gaji minimum baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penetapan itu langkah tepat dan kena pada masanya kerana dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk bekerja dalam sektor swasta dan perindustrian.
“Kita sedia maklum inflasi dan kos sara hidup yang meningkat itu juga harus ditangani dengan peningkatan gaji pekerja-pekerja terutama sektor swasta dan sektor industri.
“Daripada segi kajian, kita lihat sektor berkenaan paling kurang kenaikan gaji, justeru saya amat mengalu-alukan kenaikan gaji minima ini dapat dilaksanakan dengan segera.
“Tidak perlu lagi menunggu untuk menaikkan gaji minimum terbabit. Ini masa yang sesuai mereka dapat gaji minimum RM1,500 sebulan,” katanya.
Menurut laporan media sebelum ini, pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata, walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
-Berita Harian