TAPAH : Seorang pemandu maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4×4) merempuh belakang lori roti di Kilometer 312.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat sini, malam tadi.
Lelaki berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 10.48 malam.
Katanya, kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang lori tersebut, menyebabkan pemandunya tersepit.
Menurut jurucakap itu lagi, pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zulkifli Hamad dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah, tamat kira-kira jam 12 tengah malam.
Sementara itu, menurut Twitter plusline, kemalangan telah menyebabkan lorong kanan dan kiri terhalang.
Ia sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih lapan kilometer.
-Awani