JOHOR BAHRU : Pemuda Barisan Nasional (BN) sudah mengemukakan 15 nama untuk diangkat sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac nanti.
Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata calon berkenaan terdiri daripada orang muda yang berkelayakan, berketerampilan dari segi pencapaian akademik dan gerak kerja mereka sudah dikenali masyarakat setempat.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, calon berkenaan menepati ciri-ciri yang dimahukan pimpinan tertinggi iaitu ‘Winnable, Acceptable and Likeable’ (WALI).
“Masih dalam fasa penilaian tetapi di peringkat pemuda BN kita telah menghantar lebih 15 calon untuk ditawarkan. Calon ini sudah tentu seperti di Melaka.
“Calon orang muda bukan (baharu) tetapi sudah dikenali masyarakat. Ini prinsip kita di peringkat Pemuda dan kita mengharapkan UMNO dan Barisan Nasional akan menampilkan lebih ramai calon baru dan calon muda,” katanya.
Asyraf berkata, pihaknya berharap dapat mengekalkan momentum kemenangan PRN Melaka yang mana lebih 80 peratus calon BN adalah calon muda. BN akan menggunakan konsep ‘mikro targetting’.
“Sudah tentu strategi tidak boleh dibincangkan secara umum tetapi secara kasarnya saya boleh katakan strategi pendekatan Pemuda kita bergerak di peringkat cawangan,” katanya sambil menambah ada 1,781 cawangan pemuda BN di negeri itu.
-Berita Harian