KUALA PILAH : Seorang lelaki maut selepas motosikal jenis skuter Yamaha NVX yang ditungganginya dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga di hadapan Masjid Senaling dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.39 pagi, mangsa, Muhammad Hakimi Mazlan, 20, dari Kampung Tebat Hilir maut di tempat kejadian, manakala pemandu kereta, seorang lelaki berusia 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah, Mohd Nizam Yom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam pukul 6.40 pagi dan tiba tujuh minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, pihak bomba memadamkan kebakaran sebuah motosikal skuter yang terbakar 100 peratus.
“Skuter itu dipercayai terseret selepas bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga dari arah bertentangan.
“Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah ke Senaling manakala pemandu kereta dari arah Melaka ke Kuala Pilah dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
-Berita Harian